Thursday 11 August 2016

PENGALAMAN PERTAMA KAMI JOIN CARBOOT SALE

Assalamualaikum Faruefian semua!!!


   Ramai yang pertama kali berniaga secara terbuka di tempat awam akan terkebil-kebil dan risau mengenai apa yang perlu disediakan, apa yang perlu dipatuhi dan apa yang dilarang ketika berniaga di sebuah kawasan perniagaan yang besar seperti di karnival.  Itulah yang terjadi kepada saya dan Wani. Beria nak meniaga tapi tak tahu persediaan apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu.

   Hari ini kami ingin berkongsi pengalaman el-Faruefi kepada anda semua mengenai kisah pertama kali kami berniaga secara terbuka di Karnival. Sebelum itu, konsep perniagaan kami adalah seperti biasa iaitu 'KITA REDAH JER'...hehe

   Suatu hari, Wani menelefon saya dengan nada teruja sambil memberi pendapat kepada saya "Jom kita buka Car Boot Sale nak tak? modal murah jer, kat Bangi depan PKNS". Then apa yang terlintas dalam kepala ni adalah Car Boot Sale ni biasanya jual barang-barang terpakai kan? hmmm... "So berapa dia caj untuk sewa tapak tu?" saya berseloroh sambil mengunyah keropok Ikan Tamban Terengganu goreng sebagai kudapan petang.  "Rm15 jer setapak, Sabtu depan, ok tak?" jawab Wani lagi dengan suara penuh pengharapan. "Macam tu kira on jerla, kalau tak laku pun takderlah banyak sangat ruginya" fikir saya dengan positifnya.


Contoh Konsep Car Boot Sale di Malaysia

   Hari program tu berlangsung, seawal pukul 8.00 pagi lagi kami dah sampai di tapak niaga. Dah namanya adat, bila main redah jer mulalah macam-macam tak tahu, nak bayar sewa tapak dengan siapa? nak meniaga kat mana? masa tu semua persoalan baru nak timbul. Keliru tapak niaga mana yang sepatutnya kami pacak tiang khemah ni, kami pun bertanya pada petugas yang ada disitu. Akhirnya kami mendapat satu tapak yang keluasannya hanya seluas keadaan parkir kereta secara menegak. "Oh, camni rupanya Car Boot Sale" bisik hati sambil melihat peniaga disebelah sedang memasang mini khemah. kami pun tanpa berlengah mula mengeluarkan segala barang yang ingin dijual termasuk memasang payung besar yang dipinjam dari kawan ayah Wani (masa tu tak ada khemah lagi, baru meniagalah katakan). Hampir separuh kerja-kerja kami menyiapkan susun atur barang, tiba-tiba kami didatangi dua orang petugas dan kemudian menegur kami, "bang, dekat kawasan ni hanya menjual barangan terpakai sahaja, maaf yer?" kata salah seorang petugas dengan muka sememeh. Sabar jerlah kami dengan dua orang petugas ni, "Tadi masa susun-susun barang takder pula diorang ni tegur, dah hampir siap baru nak cakap!" bentak hati ni tapi kata-kata yang tersembul dari mulut ini hanyalah "baiklah cik, sebentar lagi kami kesana"

    Selepas berbincang dengan petugas, kami telah diarahkan untuk berpindah ke satu lagi kawasan Car Boot Sale yang berada sangat jauh dari kawasan tapak niaga kami tadi. Dengan hati yang sayu, kami membungkus semula barang-barang jualan dan mencari tapak niaga yang disebutkan. "Jangan putus asa, ni ujian kita yang pertama awak, setiap ujian pasti akan membuahkan hasilnya" kata saya untuk melegakan perasaan down Wani yang dari tadi termenung melihat pemandangan luar melalui cermin tingkap kereta.

   Sesampainya kami di tapak niaga yang baru, kami dapati tiada siapa pun yang ada disitu. Rasanya kami berdua jer yang nampak bersungguh untuk berniaga ni, "Mana yang lain ni? betul ke tempat ni?" intonasi saya semakin meninggi setinggi matahari yang ada diatas kepala ni. "betullah, kan petugas tu dah beritahu tapak kita dekat sini" jawab Wani kembali. "Ok awak, jomlah kita setup barang-barang semua, cepat pasang cepatlah kita lepak.

sesi menyusun barang-barang jualan

    Alhamdulillah, makin lama makin ramai peniaga sampai ke kawasan niaga ini menandakan tempat kami nanti akan ada tarikan dari pengunjung. "Awak, kita kena disiplin dalam berniaga ni, duit pecah kena sentiasa ada, jubah-jubah yang terjual perlu digantikan dengan jubah lain, duit untung kita ni kita asingkan untuk disedekahkan ke Palestin, lagi satu..." saya ternampak sesuatu yang pelik dengan gerai saya ni. "Alamak! payung kita ni payung PEPSI laaa!" sambil menepuk dahi. Apa dah jadi ni? jual Jubah Gaza, support Palestin tapi pakai payung PEPSI, kroni ISRAEL! aduhhh... Kami memandang sesama sendiri dan gelak besar sampai ada beberapa pengunjung melihat gelagat kami.

Dibawah Payung Pepsi  kami berniaga

Perniagaan kami agak hambar disini, pengunjung tak banyak yang lalu kawasan ni. Ramai yang masuk dan terus menuju ke perkarangan tapak karnival yang terletak hampir 200 meter dari tapak kami. Matahari dah semakin terik, bekal yang umi dan abah Wani bawa telah habis dijamah. Sesuatu perlu dilakukan. "Awak, kita kena buat sesuatu ni, orang tak ramai masuk la tempat kita ni?" tegasku. "Haahla, kita kena tukar lokasi, tapi macamana dengan tapak kita ni?" soal Wani semula. "Kita biar jer tapak kita nih, kita kena cari port lain, dahla panas, abang taknak kulit abang melekat dengan tar jalan nanti" terkeluar kata-kataku seakan menyindir. "Habis kita nak pasang kat mana pula bang?" soal Wani yang semakin bingung dengan rancangan saya. "Kita kemas dulu barang-barang ni dan jom ikut abang kesana" sambil menunjukkan satu laluan berpokok yang agak rimbun daunnya.


Tada.... lokasi baru gerai kami

Nampak tak permainan kami? hahaha... Inilah hasilnya, berniaga ditempat yang tak sepatutnya. Habis jubah-jubah kami gantung di ranting-ranting pokok. Sebenarnya tempat kami ini sangat berangin, penyidai yang kami gunakan untuk menggantung jubah selalu terjatuh ketanah membuatkan kami mencari alternatif baru dengan menggantung segala pakaian pada ranting-ranting pokok. 

Opismate turut sama bagi sokongan atas perniagaan kami

Angin kuat membuatkan jubah kami menari-nari diawangan

Ternyata tempat baru yang kami pilih ini sangat-sangat berkesan. Pengunjung yang melalui jalan ini pasti akan melihat jubah yang kami jual ini. 70 peratus dari jubah kami telah berjaya dijual manakala selebihnya tidak dapat dijual, itupun disebabkan masalah saiz. Alhamdulillah, mungkin keuntungan kami ini sedikit sebanyak adalah disebabkan niat kami yang ingin menyalurkan sedikit bantuan kewangan ke Palestin yang sedang bergolak. Kami meniaga sehingga maghrib dan pulang kerumah dengan senyuman sehingga ke telinga. 

Duit sumbangan hasil kutipan dari keuntungan kami

Keesokan paginya Wani menelefonku dan berkata"Jom kita join Karnival lagi nak tak?" dengan nada cergas. Saya dengan nada yang pura-pura cergas pula menjawab "InsyaAllah kalau tak ada program" sambil mengurut tapak kaki yang masih lenguh akibat lama berdiri semalam.

Sekian perkongsian kami pada kali ini, terima kasih kerana sudi membaca sampai habis...hehe